MagzNetwork

KAUM YANG SESAT LAGI MENYESATKAN

Posted by Hamba Perjuangan | 10:55 AM | 0 comments »

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Umatku akan berpecah hingga menjadi tujuh puluh tiga ( 73 ) puak, hanya satu puak yang terselamat, manakala yang lain semuanya binasa. Sewaktu di tanya : " Siapakah yang terselamat itu ? " Baginda menjawab " Itulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah" Di tanya lagi ; " Apakah Ahlus Sunnah Wal Jamaah itu ? " Baginda bersabda ; " Perjalananku hari ini dan para sahabatku ". Kita sebagai orang awam tertanya-tanya siapakah 72 puak yang tersesat itu. Adakah kita termasuk di dalam salah satu puak yang tersesat itu ?. Untuk lebih berwaspada supaya kita tidak termasuk di dalam puak-puak yang tersesat itu, di sini dibentangkan serba ringkas antara puak-puak yang tersesat tersebut, sepertimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Daud Al-Fatani dalam bukunya Manhalush Shafi antaranya :-


Puak-puak yang Tersesat dalam Bab Syariat.

Puak-puak yang tersesat dalam bab Syariat ini ialah, golongan yang menambah-nambahkan atau mengurangkan sesuatu perkara dalam bab ibadat dan hukum hakam, tanpa mempunyai sandaran dan asal usul yang jelas dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w ataupun dari perbuatan sahabat-sahabat Nabi yang muktabar, samada perbuatan itu wajib, haram, sunat, makruh ataupun harus. Kemudian perbuatan dan amalan tersebut diamalkan pada diri, keluarga dan masyarakat. Perkara dan amalan tersebut di kenali dengan Istilah syarak sebagai Bidaah Dholalah yang Karohah dan Bidaah Dholalah Yang Haram yang mesti di jauhi oleh setiap orang Islam.


Puak-Puak yang Teresat dalam Bab Akidah.

Terdapat 72 puak yang tersesat dalam bab Akidah ini, kerana pegangan dan kepercayaan mereka terang-terang bercanggah dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah serta apa yang telah di bawa oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda. Antara kumpulan-kumpulan tersebut ialah :-


1. Kaum Rafidhiyah - 12 puak.

Kesesatan puak-puak ini dalam bab akidah berlaku kerana pegangan dan kepercayaan mereka jelas bercanggah sama sekali dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah walaupun mereka masih mengaku bahawa mereka terdiri daripada orang-orang Islam. Antara pegangan mereka ialah :

i. Mereka berittikad bahawa Saidina Ali k.w.h akan turun dari langit pada suatu hari nanti dengan rupa awan ketuhanan lalu berupa dengan seorang manusia, maka beliau akan melakukan beberapa pekerjaan yang dibangsakan kepada sifat ketuhanan. Setelah itu beliau akan naik semula ke langit.

ii. Mereka juga berpegang bahawa Malaikat jibrail telah tersalah memberi wahyu kepada Nabi Muhammad, sedangkan sebenarnya wahyu tersebut adalah untuk Saidina Ali k.w.h

iii. Mereka juga percaya bahawa Nabi Muhammad s.a.w dan Saidina Ali k.w.h bekerjasama dan bersyarikat dalam melakukan pekerjaan keNabian.

iv. Mereka juga mendakwa bahawa jawatan khalifah itu hanyalah khusus kepada Saidina Ali k.w.h sahaja. Oleh itu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Osman sentiasa berada dalam kafir kerana menerima dan menjawat jawatan Khalifah Rasulullah s.a.w. Mereka juga mengkeji dan menyumpah sahabat-sahabat agung Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat lain yang tidak seketurunan atau sebangsa dengan Saidina Ali k.w.h

v. Mereka percaya bahawa apabila telah keluar roh dari seseorang anak Adam ( mati ), maka roh orang yang mati itu akan masuk pula ke dalam jasad orang lain dengan nama dan rupa yang lain atau serupa.

vi. Mereka juga mendakwa bahawa Saidina Ali k.w.h juga akan kembali hidup semula di akhir zaman sebelum berlakunya hari Kiamat. Beliau akan datang dan menghukum semua musuhmusuhnya, tempat beliau sekarang ialah di awan. Bunyi guruh dan kilat itu adalah suara cemeti Saidina Ali k.w.h.

vii. Mereka percaya bahawa kadang-kadang zat Allah akan zahir dalam rupa bentuk manusia, maka ketika itu dinamakan zat tersebut sebagai Nabi atau Imam, lalu mengajak manusia kepada agama Islam yang lurus. Jika zat Allah tidak zahir secara demikian sudah tentulah semua manusia akan tersesat. Mereka juga percaya bahawa zat Allah itu boleh menjelma dan masuk kedalam sesuatu lalu sebati dengan benda tersebut.

2. Kaum Jabariah - 12 Puak.

Puak-puak Jabariah ini juga terkeluar daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Antara ittikad dan pegangan puak-puak ini, antaranya ialah :-

i. Keimanan, ketaatan dan kekufuran serta maksiat adalah semata-mata daripada Allah. Manusia tidak mempunyai daya upaya dan ikhtiar apa-apa kerana semuanya telah ditentukan oleh Allah. Oleh itu Semua hamba Allah ( manusia ) digugurkan daripada taklif syarak. ( kewajipan bagi melaksanakan sesuatu perintah Allah )

ii. Mereka juga mendakwa dan percaya setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh manusia tidak akan mendapat sesuatu kebajikan dan pahala, begitu juga perbuatan jahat dan maksiat yang dilakukan oleh manusia, juga tidak mendatangkan apa-apa dosa dan tidak akan mendapat apa-apa siksaan di Akhirat kelak.

iii. Bertafakkur ( bermeditasi ) itu adalah lebih baik daripada segala ibadat samada ibadat yang fardhu atau sunat.

iv. Sesiapa yang menjadi kekasih Allah dan bersih jiwanya daripada segala hawa nafsu yang jahat serta beliau mempunyai ilmu yang tinggi, maka pada ketika itu beliau tidak perlu lagi melakukan apa-apa amal ibadat.

v. Orang-orang kafir dan orang-orang yang sentiasa melakukan maksiat tidak akan di tanya serta di soal di hari Akhirat kelak , kerana segala perbuatan mereka itu adalah atas kehendak Allah.

vi. Bahawa Allah tidak akan menyeksa hamba-hambanya, kerana jika Allah menyeksa hamba-hambanya juga, maka Allah itu adalah zalim, sedangkan Allah bersifat maha Adil.

vii. Allah akan menghidupkan orang-orang yang kafir dan yang melakukan maksiat di dalam neraka, selepas itu Allah akan mematikan mereka dan tidak akan dihidupkan lagi buat selama-lamanya.

viii. Apabila Allah telah selesai menjadikan segala mahkluknya maka Allah akan beristirehat, maka tiap-tiap perkara itu akan zahir dan wujud dengan sendirinya bila tiba waktu dan masa yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak ada kena mengena dengan kudrat dan iradat Allah lagi.

ix. Semua harta di dunia ini adalah kepunyaan bersama semua manusia dan halal bagi sesiapa mengambilnya (mencurinya ) dan tuannya yang sah tidak berhak mencegah orang lain daripada mengambil harta benda mereka.

x. Apabila seseorang itu terasa hendak melakukan sesuatu samada perkara-perkara kebajikan ataupun perkara yang jahat dan maksiat, maka hendaklah beliau segera melakukan perbuatan tersebut, kerana ianya merupakan wahyu daripada Allah yang telah dicampakkan ke dalam hatinya oleh Allah.

xi. Semua kewajipan dan kefardhuan yang diwajibkan oleh Allah itu boleh dilaksanakan jika seseorang itu rajin dan boleh juga ditinggalkan jika seseorang itu merasa malas.

xii. Segala perintah Allah itu perlu dilakukan sekali sahaja dan tidak payah lagi di ulang-ulang

xiii. Untuk menjadi seorang muslim hanya memadai dengan mengucap dua khalimah syahadat dan tidak perlu melakukan kewajipan-kewajipan yang lain.


3. Kaum Kharijiah. - 12 Puak.

Antara fahaman dan pegangan puak-puak Kharijiah yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, antaranya ialah :-

i. Bahawa yang menjadikan kebaikan itu adalah Allah dan yang menyebabkan kejahatan itu adalah daripada usaha dan ikhtiar manusia sendiri. Mereka juga menghukum kafir ke atas orangorang Islam yang melakukan dosa-dosa besar.

ii. Bahawa Zakat itu tidak diwajibkan ke atas umat Islam, oleh itu mereka boleh menghimpunkan harta sebanyak mana yang mereka sukai walau dengan apa cara sekalipun. Zakat juga tidak harus diberikan kepada sesiapa pun kerana kita tidak tahu adakah mereka itu Islam ataupun kafir.

iii. Bahawa Allah akan menghimpunkan semua dosa-dosa Syirik Jali dan tidak perlu mengucap dua khalimah syahadah untuk kembali kepada Islam.

iv. Tidak wajib berimam dengan perkara-perkara yang Ghaib seperti malaikat, dosa dan pahala, hari khiamat dan sebagainya.

v. Allah tidak akan menghukum mahkluknya dengan sesuatu hukuman.

vi. Matahari, bulan, bintang dan cakrawala di angkasa bukan sebahagian daripada mahkluk Allah.

vii. Semua orang perempuan itu merupakan perhiasan kepada orang lelaki, oleh itu boleh melakukan persetubuhan sebelum berkahwin dengan mana-mana perempuan yang disukainya.

viii. Saidina Ali k.w.h itu merupakan seorang kafir dan hanya Saidina Umar dan Abu Bakar sahaja yang Islam.


4. Kaum Qadariah. - 12 Puak.

Antara pegangan dan pegangan Ittikad mereka yang menyeleweng ialah ;-

i. Segala usaha dan ikhtiar, cita-cita dan doa-doa manusia akan memberi kesan dengan sendirinya, setelah Allah selesai menciptakan ikhtiar, usaha, cita-cita dan rangkaian doa kepada manuisa.

ii. Syaitan itu serupa dengan Allah kerana syaitan juga tidak mempunyai tubuh dan rupa yang nyata ( tidak boleh di lihat dengan mata kasar ) seperti Allah.

iii. Yang menjadikan sesuatu kejahatan itu adalah Syaitan semata-mata dan yang menjadikan kebaikan itu hanyalah Allah semata-mata.

iv. Sesuatu Qada dan Qadar itu bukanlah daripada Allah, tetapi datangnya daripada usaha dan ikhtiar manusia sendiri.

v. Beramal dan melakukan ibadat itu adalah merupakan perbuatan yang sia-sia sahaja, kerana setiap yang baik dan jahat itu telah ditetapkan oleh Allah sejak dari azali lagi.

vi. Syurga, Neraka, Hisab dan Mizan tidak wujud lagi sekarang kerana belum dijadikan oleh Allah lagi, sehingga apabila telah tiba hari Khiamat.

vii. Bahawa segala amal ibadat itu, adalah berpunca dari usaha manusia semata-mata dan tidak diketahui lagi samada akan beroleh pahala atau dosa, jika mereka meninggalkan atau melakukannya.

viii. Bahawa Allah tidak menciptakan Syaitan kerana jika Allah mencipta syaitan, maka Allah juga telah menciptakan kekufuran, maka dengan itu menunjjukan bahawa Allah juga suka kepada kekufuran.

ix. Puak-puak ini benci kepada ibadat-ibadat yang fardhu dan suka kepada ibadat-ibadat yang sunat dan sembahyang yang empat rakaat juga telah mereka jadikan dua rakaat sahaja.

x. Semua kitab Allah yang diturunkan dari langit tidak di mansukh ( batal ) dengan turunnya kitab Al-Quran, dengan itu wajib beramal dengan semua isi kandungan kitab-kitab tersebut.


5. Kaum Jahmiah - 12 Puak.

Antara kepercayaan dan pegangan akidah golongan ini ialah :-

i. Asma-asma Allah dan sifat-sifat Allah itu adalah merupakan mahkluk.

ii. Zat Allah itu wujud pada setiap tempat atas rupa hulu dan ittihad.

iii. Orang Islam yang durhaka apabila dimasukkan ke dalam neraka, akan kekal selama-lamanya di dalam neraka.

iv. Apabila segala isi neraka itu menjadi abu, mereka tidak akan dihidupkan semula.

v. Mayat orang mati tidak merasai azab dan siksaan atau nikmat kecuali ketika sakaratul maut dan di dalam kubur sahaja.

vi. Bahawa zat-zat Allah itu berdiri di antara langit dan bumi.

vii. Bahawa Nabi Muhammad hanya dapat melihat Allah di dalam dunia sahaja dan manusia yang lain pula hanya dapat melihat Allah di Akhirat sahaja.


6. Kaum Murjiah - 12 Puak.

Antara Ittikad mereka yang menyeleweng dan sesat ialah ;-

i. Selepas seseorang itu telah membicarakan rukun Iman maka ia tidak lagi difardhukan apa-apa.

ii. Bahawa Allahlah yang menjadikan semua mahkluknya tetapi Allah tidak pula menyuruh manusia melakukan kejahatan dan tidak pula melarang manusia daripada meninggalkanya.

iii. Sesiapa yang mengucap LailahaillAllah, maka ia telah bebas samada untuk melakukan ketaatan kepada Allah atau melakukan kejahatan.

iv. Barang siapa yang mengesakan zat Allah, Sifat-sifat Allah dan segala perbuatan Allah maka mereka tidak akan di catatkan apa-apa dosa besar yang telah mereka lakukan.

v. Bahawa Allah itu adalah terdiri daripada Jauhar dan ‘aradh (sel atau nukleus )

vi. Iman seseorang itu akan berkurang pada tiap-tiap tahun dan tidak akan bertambah lagi.

vii. Sah sujud kepada matahari, bulan dan bintang atau mahkluk lain sama seperti sujud kepada Allah

viii. Iman itu adalah ilmu, maka sesiapa yang tidak berilmu, maka ia telah menjadi kafir.

ix. Seseorang manusia boleh menjadi mukmin pada ketika yang di kehendaki oleh Allah dan manusia juga boleh menjadi kafir jika di kehendaki oleh Allah dalam sesuatu masa.

x. Allah tidak bersifat dengan segala sifat Ujudiah.

xi. Boleh dan sah mengikut perintah atau arahan daripada Syaitan atau jin, samada jin Islam atau kafir, walaupun perintah bagi melakukan perkara kejahatan dan maksiat.


Puak-Puak yang Tersesat dalam Bab Sufi.

Kumpulan-kumpulan yang tersesat dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya dalam

bab Sufi pula terdiri daripada 13 puak yang besar antaranya :-


1. Kaum Marjiah.

Kepercayaan yang menjadi Ittikad dan pegangan kaum ini ialah apabila mereka beramal dan telah sampai ke tahap mereka telah menjadi kekasih Allah, iaitu apabila mereka telah sampai ketahap tiada lagi benda lain yang mereka kasihi selain daripada Allah, maka pada tahap ini semua kewajipan syarak dan ibadat ke atas mereka telah digugurkan oleh Allah. Dalam keadaan ini

segala yang haram telah menjadi halal bagi mereka. Segala kewajipan yang difardhukan seperti Solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya boleh di buat dan boleh juga di tinggalkan mengikut sesuka hati mereka. Kumpulan ini, sesetengahnya sangat suka bertelanjang dan tidak menutup aurat. Pada pegangan mereka semua harta di dunia ini adalah kepunyaan datuk mereka, iaitu Nabi Adam, jadi mereka sebagai cucu-cicit keturunan Nabi Adam, maka semua harta tersebut adalah halal bagi mereka mengambil dan menggunakanya walaupun tanpa kebenaran dan meminta izin dari tuannya yang sah terlebih dahulu.


2. Kaum Auliya’iyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak Auliya’iyah ini ialah apabila mereka telah sampai ke tahap dan martabat wali, maka terangkatlah semua kewajipan syarak keatas mereka. Pada tahap ini, apa yang menjadi kewajipan keatas diri mereka sebagai hamba Allah seperti Solat, puasa dan sebagainya tidak perlu lagi ditunaikan manakala apa-apa yang telah diharamkan oleh Allah

keatas manusia telah menjadi halal bagi mereka, seperti berzina, mencuri dan sebagainya. Martabat mereka sebagai wali pula adalah lebih besar dan mulia daripada martabat Nabi.


3. Kaum Syamrakhiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah apabila sampai ke tahap-tahap tertentu, maka Allah telah menghalalkan bagi mereka perbuatan zina dan sebagainya dan mereka pula akan berpurapura warak apabila berada di khayalak ramai.

4. Kaum Ibahiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak Ibahiyah ini ialah mereka tidak sanggup menahan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang di larang oleh Allah dan mereka juga tidak sanggup menyuruh manusia lain supaya melakukan kebaikan dan mereka juga menghalalkan zina kepada ahli kumpulan mereka.


5. Kaum Haliayah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini, mereka boleh melakukan perkara-perkara mungkar asalkan mereka boleh mendekatkan diri kepada Allah. Contohnya dalam melakukan zikir, mereka akan menari-nari dan bertepuk tangan sambil berzikir. Ada yang pengsan dan mereka sandarkan semua perbuatan buruk mereka itu kepada Sunnah Rasulullah s.a.w yang perlu di ikuti oleh semua manusia lain.


6. Kaum Huriyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak Huriyah ini adalah lebih kurang dengan pegangan puak-puak Haliyah. Cuma apabila mereka pengsan itu, mereka berkata : " datanglah kepada kami bidadari, maka kami setubuhi ia " Apabila sedar dari pengsan mereka akan pergi mandi junub.

7. Kaum Waqi’iyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah dan segala sifat-sifatNya, AsmaNya dan segala Perbuatan Allah tidak boleh di kenali. Hamba sama sekali tidak akan sampai kepada Makrifatullah.


8. Kaum Mutajalihiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini, bahawa mereka tidak boleh memakai pakaian yang baru dan bersih. Mereka juga suka melakukan perbuatan-perbuatan jahat dan suka kepada perempuan dan suka melakukan zina.


9. Kaum Mutakasiliyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah mereka tidak suka berusaha dan berikhtiar bagi mendapatkan makanan dan rezeki dari Allah. Mereka juga meminta-minta sesuatu daripada orang ramai dan memaksa orang ramai supaya memberi harta zakat dan sedekah kepada mereka.


10. Kaum Ilhamiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ilhamiyah ini ialah mereka mendakwa bahawa mereka selalu mendapat ilham ketuhanan. Mereka juga meninggalkan daripada mempelajari serta membaca Al-Quran, meninggalkan zikir dan segala selawat, kerana dakwa mereka bahawa Al-Quran itu menjadi pendinding untuk mereka sampai kepada makrifatullah. Dengan itu mereka lebih suka menghafaz serta mempelajari bait-bait syair dan sebagainya.


11. Kaum Hululiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah menjelma dalam diri manusia dan dalam benda-benda lain di alam ini. Mereka juga mengharuskan ahli kumpulan mereka memandang kepada perempuan-perempuan yang elok dan cantik serta memandang kepada lelaki yang cantik paras rupa kerana pada pandangan mereka di situ terdapat Tajalli ( kebenaran yang diperlihatkan Allah ) ketuhanan. Mereka juga suka bersuluk ( mengasingkan diri untuk bertafakur ), melakukan zikir dengan bercampur antara lelaki dan perempuan sambil memeluk dan mencium wajah-wajah yang cantik, kerana pada wajah tersebut terdapat bekas Tajalli ketuhanan. Jika mereka mendapat anak dalam majlis tersebut, maka anak itu adalah anak daripada Tajalli ketuhanan. Mereka juga boleh melakukan semua amalan dan amal ibadat hanya dengan menggunakan niat sahaja.


12. Kaum Wujudiyah.

Ittikad dan pegangan puak-puak Wujudiyah ini, sebenarnya adalah terdiri yang mulhid dan zindik semata-mata. ( Orang yang imannya telah terpesong dan tidak lagi percaya kepada agama Allah yang sebenarnya ). Mereka mendakwa bahawa diri mereka dan zat Allah adalah sama. Kewujudan Allah itu pula adalah bertempat dan mempunyai masa-masa tertentu serta kewujudan Allah boleh di lihat dengan mata kasar manusia. Mereka hanya membahaskan tentang kewujudan zat-zat Allah mengikut khayalan pemikiran mereka semata-mata sahaja.


13. Kaum Mujassimah.

Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah itu adalah berjisim dan berbentuk seperti mana manusia, iaitu boleh di rasa, boleh di lihat dan boleh di pegang. Kesimpulannya segala pegangan dan akidah serta Itikad dan pahaman puak-puak yang telah dinyatakan serba ringkas di atas adalah terang-terang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya, walaupun mereka masih mendakwa bahawa mereka adalah sebahagian daripada umat Islam. Sebenarnya puak-puak inilah yang telah merosakkan kesucian agama Islam. Mereka bukan sahaja sesat, malah telah menyesatkan orang-orang jahil yang lain, yang mengikut ajaran dan kumpulan mereka dengan tujuan untuk mendalami ajaran Islam. Pengikut-pengikut itu juga tersesat dan menjadi kafir bersama tok-tok guru yang mengembang dan mempertahan ajaran dan pegangan kumpulan tersebut. Mereka semua akan di humbankan ke dalam neraka oleh Allah dihari Akhirat kelak. Sebagai seorang Islam yang cintakan kepada ajaran dan kesucian agama Islam, marilah samasama kita menjauhkan diri daripada semua pertubuhan dan kumpulan yang sesat tersebut dan mengikuti ahli dan kumpulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sahaja. Mungkin segala ajaran dan fahaman yang di pegang oleh kumpulan dan puak-puak tersebut adalah datangnya daripada ajaran dan bisikan puak-puak jin dan Syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang benar dan di redai oleh Allah. Semoga Allah melindungi kita semua daripada terjerumus ke dalam perangkap puak-puak tersebut.


Antara Perkara-perkara Yang Menyebabkan Dosa-dosa Besar

1. Syirik jali, kufur dan murtad

2. Membunuh seseorang tanpa sebab yang sebenar ( tanpa hak ) dengan tiada sumber atau syubhat amal

3. Zina

4. Liwat

5. Merogol binatang

6. Meminum minuman yang memabukkan.

7. Mencuri dengan kadar yang membolehkan dijatuhkan hukuman potong tangan.

8. Menuduh seseorang yang baik berzina

9. Menjadi saksi dusta

10. Merampas harta orang lain dengan tiada sebab yang membenarkanya berbuat demikian.

11. Lari daripada medan peperangan jihad kerana menegakkan agama Allah, maruah diri, maruah bangsa dan harta ( negara )

12. Makan riba

13. Memakan harta anak-anak yatim walau dengan apa cara sekalipun dengan tidak sebenar.

14. Mendurhaka kepada kedua orang tua.

15. Mendusta ke atas Rasulullah s.a.w

16. Menyembunyikan diri daripada menjadi saksi tanpa keuzuran, sedangkan ia patut hadir untuk memberi keterangan.

17. Berbuka puasa dengan sengaja, tanpa apa-apa keuzuran

18. Bersumpah dusta.

19. Mendahulukan solat fardhu sebelum masuk waktunya atau melakukan solat fardhu selepas luput waktunya dengan sengaja tanpa apa-apa keuzuran syarie.

20. Memutuskan hubungan kekeluargaan dan silatulrahim dengan jiran dan kaum kerabat tanpa sebab-sebab yang di benarkan oleh syarak.

21. Menipu dalam sukatan timbangan barang, samada mengurang atau melebihkannya.

22. Sengaja meninggalkan solat fardhu tanpa apa-apa keuzuran syarie.

23. Menjatuhkan maruah seseorang Islam yang lain tanpa alasan yang di benarkan oleh syarak.

24. Menyumpah dan mengeji sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.

25. Memberi dan menerima rasuah

26. Menegah lelaki yang halal daripada masuk ketempat tidur isterinya atau gundiknya.

27. Bergaul bebas antara lelaki dan perempuan yang halal nikah dalam suatu majlis yang di tegah oleh syarak.

28. Mengadu kepada pemerintah atau pihak yang berkuasa supaya mengambil tindakan kepada seseorang tanpa alasan yang sebenarnya.

29. Enggan mengeluarkan zakat

30. Melupakan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang telah di hafalnya

31. Membakar haiwan walaupun yang telah mati.

32. Mengamalkan ilmu sihir dan segala bentuk atau kaedah yang bersangkutan dengan khadam bersyarat serta mengajarkanya kepada orang lain.

33. Meninggalkan daripada menyuruh manusia supaya melakukan kebaikan dan tidak mencegah manusia daripada melakukan kejahatan. Padahal ia berkemampuan melakukan perkara tersebut.

34. Isteri enggan melayani suaminya tanpa alasan yang munasabah atau isteri menderhaka kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak.

35. Putus asa dengan rahmat Allah

36. Tidak menghiraukan dengan kemurkaan Allah dengan sentiasa melakukan maksiat dan tidak pernah mengharapkan keampunan daripada Allah.

37. Zihar, iaitu menyerupakan isterinya dengan ibunya sendiri dari segi fizikal.

38. Memakan makanan dan minuman yang diharamkan tanpa ada sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak.

39. Memakan bangkai tanpa ada keuzuran syarak

40. Namimah, iaitu memperlaga-lagakan kedua-dua belah pihak supaya bergaduh.

41. Mengumpat ke atas ahli-ahli ilmu yang beramal dengan ilmunya dan menghafaz Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w

0 comments

Post a Comment