MagzNetwork

KHADAM

Posted by Hamba Perjuangan | 9:46 AM | 7 comments »

Khadam ialah pembantu atau orang suruhan yang akan membantu tuannya apabila di minta. Khadam pada asasnya terbahagi kepada dua golongan, iaitu :-


1. Khadam Asal.

Khadam asal adalah terdiri daripada rohani Malaikat dan Jin Islam peringkat tinggi yang nama mereka adalah seperti nama malaikat. Ia tidak mendatangkan apa-apa syarat kepada ahlinya untuk berkhidmat. Khadam jenis ini adalah diharuskan oleh syarak.


2. Khadam Bersyarat.

Khadam jenis ini adalah terdiri daripada Jin alam rendah samada terdiri daripada Jin Islam atau Jin kafir. Golongan ini datang kepada ahlinya dengan perjanjian dan beberapa syarat khusus dan umum, samada yang bertepatan dengan hukum syarak ataupun yang diharamkan oleh syarak. Khadam jenis ini adalah diharamkan oleh Islam. Khadam bersyarat ini akan datang menolong ahlinya dengan melalui salah satu daripada cara berikut :-

1. Dampingan Luaran.

Khadam ini akan mendampingi dan menolong tuannya melalui luaran sahaja, iaitu hanya melalui perbuatan, ucapan atau qasad hati.

2. Dampingan Dalaman.

Khadam jenis ini juga dikenali sebagai Tanasakhul Aruah atau penjelmaan khadam atau Jin dalam diri seseorang (menurun) dengan menamakan diri mereka, semasa menurun dengan nama-nama tertentu seperti Nabi Khaidir, Panglima Hitam, Wali Songo dan sebagainya. Jin yang meresap melalui cara ini membolehkan orang yang diresapi itu menunjukkan keajaiban dan perkara-perkara yang luar biasa seperti bercakap dalam bahasa Siam, Jawa, Arab dan sebagainya sedangkan sebelum itu orang tersebut tidak mengetahui sedikit pun bahasa-bahasa tersebut.


Punca Lahir Dan Berkembangnya Amalan-Amalan Karut.

Dari situ amalan Jahiliah mula bertapak semula dan ianya diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain sehingga ke hari ini dan seterusnya jika tidak di benteras akan berterusan hingga ke hari kiamat. Amalan yang ada hubung kait dengan puak Jin alam rendah ini pun berpindahlah dari satu jasad ke satu jasad yang lain pada anak cucu cicit pengamal tersebut, yang mana ianya di panggil " SAKA-BAKA " atau " DATUK-NENEK ".


Kebiasaannya kesinambungan ini terjadi dengan anak atau keturunan mereka di suruh menggantikan tempat datuk nenek mereka setelah menerima isyarat-isyarat samada melalui mimpi seperti datangnya seorang tua berjubah putih atau orang tua yang berpakaian hitam atau yang menyerupai datuk nenek mereka yang pada hakikatnya adalah jelmaan daripada Jin, yang menyuruh mereka mewarisi ilmu kedukunan, ilmu latihan pertahanan diri, ilmu perbidanan dan sebagainya atau melalui perjanjian yang di terima daripada ibu atau bapanya sebelum mereka meninggal dunia. Bagi anak cucu yang menerima amalan dari datuk nenek mereka, mulailah mereka mematuhi syarat-syarat atau juga di kenali sebagai " Jamu Jin " yang telah ditetapkan itu, mengikut jenis Jin yang mereka sahabati tersebut, antaranya :-


Syarat dan Alatan Jamu Jin.

Jika Jin Islam yang soleh dari Alam Rendah. Antara syarat-syaratnya yang biasa ialah syarat yang tidak bertentangan dengan hukum syarak yang wajib seperti, tidak boleh meninggalkan sembahyang lima waktu, tidak boleh meninggalkan puasa Ramadhan, patuh dan taat kepada kedua ibu bapa, mesti berbuat baik kepada orang tua, tidak boleh makan dan minum benda-benda yang haram, tidak boleh berjudi dan sebagainya. Pada zahirnya syarat ini nampak baik kerana melaksanakan syariat Allah, tetapi yang menjadi kesalahan pula ialah, ketaatan ini berlaku setelah seseorang itu mengikat janji dengan khadam itu untuk menunaikan hajatnya setelah semua perintah tersebut dilaksanakan dengan sempurna. Jika Jin Islam yang fasik.


Antara syarat perjanjian yang mesti dipatuhi ialah terdiri daripada perkara-perkara yang harus di sisi syarak seperti, nasi kuning, ayam panggang, bertih, telur separuh masak, darah ayam hitam, kain yang berwarna, bubur merah ( bubur kacang hijau yang di masak dengan gula merah ), bubur putih, bertih yang di tabur di atas telur dadar, tidak boleh lalu di bawah penyidai kain, memakai pakaian khas seperti warna hijau atau kuning dan sebagainya.


Biasanya majlis tersebut diiringi dengan bacaan tahlil dengan menjemput orang ramai kemajlis itu. Meski pun kerja ini baik namun tujuan jamuan itu diadakan adalah bagi memenuhi perjanjian dengan khadam. Perkara dan syarat inilah yang menjadi kesalahan di sisi syarak. Jika Jin yang kafir. Syarat perjanjian yang mesti dipatuhi jika khadamnya terdiri daripada Jin kafir ialah melibatkan perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak seperti, ayam hitam yang di sembelih dengan bulu dan darahnya tidak di buang ( semua bulu-bulu dan isi perutnya tidak boleh dibuang merata-rata, di panggang dan diletakkan tertiarap di atas pulut kuning atau pulut putih ), kemian yang di asap untuk memanggil Jin, senjata keturunan seperti keris, lembing, pedang untuk di puja dan sebagainya, darah kambing, semah, sangkak, ancak, upih dan sebagainya.


Kebiasaanya upacara seperti ini hanya dilakukan untuk keluarga sahaja atau berseorangan dengan di iringi dengan bacaan serapah, jampi, doa atau kadang kalanya bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Selepas itu samada " Jamu " itu di beri makan kepada keluarganya atau diletakkan di suatu tempat seperti di bawah pokok besar atau di mana yang diarahkan kononnya untuk makanan roh datuk nenek.


Akibat Mematuhi Perjanjian.

Dari saat orang yang berkenaan membuat perjanjian, mulailah mereka mematuhi syarat dan perjanjian itu samada dengan mematuhi segala hukum syarak atau mengadakan " Jamu " untuk khadam-khadam tersebut bagi menjaga kepentingan ( amalan keturunan ) dan menjaga keselamatan diri mereka dan kaum keluarga daripada di ganggu oleh jembalang-jembalang keturunan yang pada sangkaan mereka adalah terdiri daripada ruh datuk nenek mereka.

Setelah persetujuan di terima atau persetujuan secara keturunan di buat ( melalui zuriat ) terjadilah perkara-perkara yang luar biasa ke atas orang yang membuat perjanjian tersebut, antaranya :-

1. Tidak sedarkan diri selama beberapa hari , setelah sedar mereka boleh bersyarah tentang agama atau terus boleh mengubati orang sakit yang pelik-pelik dan sebagainya.

2. Mereka boleh mengadakan dan mewujudkan barang-barang seperti kemian yang di dalamnya terdapat cincin atau batu permata atau dapat mengambil barang-barang yang di tanam oleh orang tanpa pergi ke rumah tersebut dan sebagainya.

3. Boleh dan mahir latihan pertahanan diri walaupun sebelum ini beliau tidak pernah belajar apa-apa jenis latihan pertahanan diri.

4. Boleh menjadi Tok Bidan bagi menolong orang perempuan yang hendak bersalin.

5. Boleh menjadi Tok Dukun atau Tok Pawang yang boleh menurun / menyelap dengan mendakwa dirinya sebagai Nabi Khaidir, Syeh Abdul Kadir Jailani, Panglima Hitam, Wali Songo atau Tok Hijau dan sebagainya.

6. Boleh menjadi Tok Keramat yang mahir dan boleh bercakap tentang ilmu-ilmu agama dan mampu melakukan perbuatan yang pelik-pelik dan luar biasa seperti berjalan di atas air, ghaib dan sebagainya.

7. Sesetengahnya jika penerima tersebut adalah perempuan, maka beliau akan disetubuhi terlebih dahulu oleh Jin (khadam ) tersebut sebagai tanda perhubungan telah terjalin.


Semua kelakuan dan kebolehan tersebut mengikut apa yang telah mereka warisi daripada perhubungan dengan khadam-khadam yang terdiri samada Jin Islam atau Jin kafir. Setelah perjanjian dipersetujui mulalah mereka mengadakan upacara-upacara tertentu sebagai pemujaan terhadap khadam tersebut, seperti mengadakan majlis jamuan atau tahlil setahun sekali dan di arah mengunjungi kubur kubur yang di anggap orang-orang soleh atau wali-wali Allah dengan membawa makanan tertentu atau seperti yang telah dipersetujui dengan menyajikan makanan-makanan khas seperti, pulut kuning, pulut putih, terlur separuh masak, kelapa muda, kemian, ayam panggang, kuih muih yang terdiri daripada 7 jenis,berjenis-jenis dan berbagai-bagai lauk pauk dan sebagainya.


Kesan Akibatnya Ke Atas Pengamal Amalan Ini .

Sekiranya tidak di lakukan upacara seperti di atas maka segala hajatnya tidak ditunaikan atau si waris atau keluarganya akan mendapat kesusahan dan bencana, samada semasa masih hidup, di saat-saat kematiannya dan setelah kematian. Contohnya seperti :-

Semasa Masih Hidup

a. Hidupnya sentiasa bermasalah

b. Berniaga tidak menjadi, buatlah kerja apapun tidak akan berjaya, seolah-olah ada sahaja yang menghalang

c. Banyak halangan dalam pekerjaan yang diceburi.

d. Sering sakit yang pelik-pelik yang tidak dapat di kesan oleh doktor seperti histeria, gila isim, panas baran, dapat anak yang cacat dan huduh rupanya, selalu tidak sedarkan diri, sakit kepala bila tiba waktu pagi, waktu matahari jatuh, keluarga selalu berkelahi, di ganggu mimpi ngeri dan menakutkan dan sebagainya.

e. Hilang anak dalam kandungan hasil tumpangan Jin semasa melakukan persetubuhan dan sebagainya.


Di Saat-saat Kematian.

Saat kematian orang yang bersahabat dengan Jin biasanya amat menyulitkan kerana kesukaran untuk melepaskan diri daripada khadam Jin yang telah sekian lama menjadi teman karibnya. Antara syarat-syarat untuk kematian atau memudahkan kematiannya iaitu bagi membolehkan Jin khadamnya keluar ialah :-

a. Perlu membuka perabung rumah

b. Mesti mencungkil lantai rumah

c. Menyapu sedikit tanah ke muka pesakit

d. Membubuh ranting kering di atas dada si sakit

e. Membuat kuih tujuh jenis dan di panahkan ke bukit

f. Memecahkan dinding rumah si sakit

g. Meletakkan si sakit di rumah kosong.


Kematian.

Kadang-kadang berlaku juga kejadian yang aneh-aneh ke atas si sakit yang bersahabat dengan Jin ini sewaktu kematiannya. Antara kejadian-kejadian tersebut adalah seperti ;-

a. Mati sudah dua atau tiga hari tetapi masih kelihatan hidup dan sangat kuat makan, bila sudah mati mayat itu telah berbau busuk dan hampir reput.

b. Mayat ditumbuhi bulu yang banyak

c. Mayat di bawa lari oleh puak-puak Jin

d. Mata dan mulut mayat kelihatan ternganga dan kelihatan ngeri

e. Selepas kematiannya kadang kala didapati diri si mati itu ( sebenarnya Jin peliharaannya ) balik semula kerumah dan ada yang tidur serta bersetubuh dengan isterinya. ( yang pada sangkaan isteri si mati, bahawa suaminya itu hidup semula atau bekas suaminya itu keramat atau wali )

f. Sesetengah mayat pula selepas kematiannya hilang di bawa lari oleh Jin peliharaannya ke dalam hutan untuk santapan puak-puak Mereka.


Pantang Larangnya.

Pewaris keturunan ini atau penerima amalan ini tidak boleh melanggar pantang larang yang telah ditetapkan, kerana akibat yang buruk akan terjadi ke atas dirinya atau ke atas keluarganya. Antara pantang larang tersebut ialah :-

a. Tidak boleh pakai kain masuk melalui kepala

b. Tidak boleh lalu di bawah penyidai kain

c. Tidak boleh menziarahi jenazah

d. Tidak boleh makan atau minum di kedai orang kafir

e. Tidak boleh meninggalkan bacaan serampah atau jampi

f. Tidak boleh sembahyang di masjid atau berjemaah

g. Tidak boleh masuk ke rumah dengan kaki kanan

h. Tidak boleh memakan benda-benda bernyawa dan sebagainya.


Ringkasnya dari keterangan-keterangan yang telah di kemukakan di atas jelaslah bahawa berkawan dan bersahabat dengan Jin memberi banyak keburukan kepada manusia samada semasa mereka masih apatah lagi setelah mereka meninggal dunia. Tidak kira apa juga niat dan sebab mereka menjadikan Jin sebagai sahabat atau Khadam mereka.

Menurut sesetengah ulama, berkawan denagan Jin boleh menyebabkan manusia dan Jin yang menjadi sahabatnya itu, jika Jin tersebut terdiri dari pada Jin Islam, sama-sama menjadi kafir dan kedua-duanya akan di humbankan oleh Allah kedalam Neraka. Keadaan ini berlaku kerana manusia yang bersahabat dengan Jin merasa Takbur dan lupa daratan kerana mereka memiliki kuasa yang luar biasa yang tidak boleh di miliki oleh manusia lain dan apa-apa yang mereka hajati dapat diperolehi melalui pertolongan Jin tersebut. Mereka juga menganggap mereka lebih berkuasa daripada Allah dan menyuruh manusia lain meminta pertolongan hanya kepada mereka sahaja Perbuatan ini menyebabkan mereka Syirik kepada Allah kerana meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah, sedangkan Syirik merupakan suatu dosa yang amat berat dan tidak akan di ampun oleh Allah.


Manakala Jin yang menjadi Khadam manusia, menjadi kafir pula kerana mereka juga telah Takbur kepada Allah kerana seronok di sanjung dan di puja oleh manusia. Kadang-kala Jin tersebut juga mengaku mereka adalah tuhan dan menyuruh manusia menyembahnya dengan mengadakan majlis-majlis tertentu seperti Jamu Jin setahun sekali, kenduri, sembelih kambing, korbankan sesuatu kepada Jin dan sebagainya, jika inginkan pertolongan dari mereka.


Contoh-Contoh Penyakit Ada Kaitan Jin.

1. Penyakit akibat daripada keturunan.

Kadang-kala terdapat juga sesetengah orang yang mengalami sakit akibat daripada keturunan atau lebih tepat lagi penyakit yang diakibatkan oleh saka-baka. Penyakit ini adalah disebabkan oleh keturunan mereka, samada datuk, nenek, moyang atau terdapat salasilah keturunan mereka yang membela atau bersahabat dengan Jin, pada suatu masa dahulu, dan apabila mereka meninggal dunia tiada siapa yang sanggup mewarisi Jin belaan tersebut atau keturunannya tidak mengetahui bahawa datuk nenek mereka ada bersahabat atau membela Jin, lalu mereka mati sebelum sempat membuang Jin peliharaan tersebut. Kebanyakan daripada kita tidak mengambil berat malahan tidak tahu asal usul keturunan mereka atau peranan datuk nenek kita di zaman dahulu, di dalam masyarakat mereka pada ketika itu.


Terdapat sesetengah daripada orang-orang tua kita di zaman dahulu yang membela dan bersahabat dengan Jin. Mereka bersahabat dengan Jin dengan berbagai-bagai tujuan, seperti mana yang telah dinyatakan di bab-bab yang lepas. Selain daripada itu mereka juga membela Jin untuk menjaga dan mengawasi harta benda mereka daripada di curi orang, kerana pada masa itu belum terdapat polis dan sebagainya. Ada juga yang menggunakan perkhidmatan Jin untuk membuka kampung, dusun, kebun dan sebagainya, jadi Jin inilah yang akan bekerja menebas dan sebagainya untuk tuannya itu. Kerana pada waktu itu belum terdapat jentera moden dan peralatan yang canggih-canggih.


Untuk mendapatkan perkhidmatan dan bersahabat dengan Jin, mereka akan membuat berbagaibagai perjanjian dan " jamu "an serta upacara pemujaan Jin. Setelah perkembangan teknologi dan terciptanya alat-alat moden dan ditambah lagi dengan kesedaran agama yang semakin mendalam di kalangan orang-orang Melayu sekarang, maka dengan itu perkhidmatan Jin-Jin tersebut tidak lagi diperlukan. Dengan itu anak-cucu dan keturunan orang yang membela Jin tersebut tidak lagi melakukan upacara-upacara men" jamu " Jin sebagaimana datuk nenek mereka dahulu, bahkan mereka juga telah terlupa ataupun tidak tahu bagaimana untuk melakukannya. Jadi Jin-Jin tersebut akan sentiasa mengawasi dan menunggu peluang dan masa untuk menggangu keturunan tuannya, demi menuntut supaya mereka di puja dan di " jamu " sebagaimana pada zaman datuk nenek keturunan tersebut.


Jin tersebut akan mencari dan menggangu keturunan tuannya selama-lamanya, selagi keturunan tersebut tidak membuang Jin belaan tersebut. Dalam keadaan biasa Jin tersebut tidak menggangu keturunan tuannya, tetapi jika terdapat salah seorang daripada ahli keluarga keturunannya itu, diganggu atau dianiayai oleh orang lain dengan menggunakan Jin, maka Jin keturunan tersebut akan datang membantu. Tetapi Jin keturunan tidak dapat melakukan apa-apa kerana cucu cicit tuannya tidak tahu untuk mengadakan upacara bagi membela dan memanggil Jin tersebut, tambahan lagi mereka juga tidak mengetahui wujudnya Jin belaan datuk nenek mereka yang sentiasa mengawasi dan mengikuti perkembangan keluarga mereka. Pada ketika itu Jin keturunan tersebut pula yang akan bersama-sama dengan Jin yang di hantar untuk menaniayai ahli keluarga tersebut. Jin yang di hantar dan Jin keturunan sama-sama akan menggangu keluarga tersebut, malahan gangguan Jin keturunan tersebut lebih kuat daripada Jin yang dihantar oleh orang yang khianat itu.


Jika orang yang mengalami gangguan tadi berubat, maka penyakit yang di akibatkan oleh Jin yang di hantar oleh orang yang mengkhianati keluarga tersebut akan lari dan penyakit yang diakibatkanya juga akan sembuh, tetapi penyakit yang diakibatkan oleh Jin keturunan tersebut tidak akan sembuh, walaubagaimana diubati pun, melainkan jika Jin keturunan tersebut dibuang daripada keturunan keluarga tersebut.


Kebanyakan penyakit yang diakibatkan oleh Jin keturunan ini pelik-pelik dan tidak boleh di ubati oleh kepakaran dan kebijaksaan pihak doktor dan hospital, kerana jika di lakukan pemeriksaan di hospital, doktor akan mengatakan bahawa pesakit tersebut normal dan tidak mengalami apa-apa penyakit. Sedangkan pesakit tersebut menderita kesakitan yang sukar digambarkan oleh sesiapa, kecuali orang yang pernah mengalaminya sendiri.

Tanda-tanda adanya penyakit keturunan.

Terdapat tanda-tanda orang yang mempunyai keturunan daripada pembela atau orang yang bersahabat dengan Jin, walaupun mereka tidak mengalami penyakit dan sebab-sebab seperti yang telah dinyatakan di atas. Sebagai panduan, kebiasaannya orang yang ada penyakit keturunan itu akan mengalami salah satu atau kesemua daripada tanda-tanda di bawah, antaranya :-

a. Mudah terkena Rasukan f. Panas Baran

b. Cemburu g. Was-was dalam melakukan pekerjaan

c. Iri hati h. Suka berkelahi / bergaduh

d. Jahat Sangka i. Ada halangan dan sekatan dalam pekerjaan

e. Selalu mimpikan orang minta adakan jamuan atau makan Pengkelasan Keturunan.

Secara ringkasnya kebanyakan daripada keturunan-keturunan di bawah kadang-kala bersahabat atau membela Jin, demi untuk mencapai hasrat dan membantu pekerjaan mereka dalam masyarakat. Keturunan-keturunan tersebut antaranya ialah :-

a. Keturunan Raja f. Keturunan Syed Malam Jumaat

b. Keturunan Panglima g. Keturunan Hulubalang

c. Keturunan Tok Bomoh h. Keturunan Mak Bidan

d. Keturunan Mudim i. Keturunan Penjaga Kampung

e. Keturunan Mak Andam j. Keturunan Guru latihan pertahanan diri.

2. Gila.

Gila yang diakibatkan oleh rasukan Jin ini terdapat berbagai jenis. Antara yang sering terjadi ke atas orang-orang Melayu ialah :-

i. Gila Babi atau gila yang seumpamanya.

Penyakit gila babi sering di kaitkan dengan babi sebab, apabila didatangani penyakit tersebut, pesakit itu suka menyondol nyondol seperti Babi dan jika dibiarkan mereka akan masuk kedalam air dan besar kemungkinan akan mati lemas. Penyakit gila seperti ini kebiasaannya ada kaitan dengan keturunan atau saka baka yang berpunca dari kerasukan Jin. Biasanya benih manusia jenis ini sudah bercampur dengan benih Jin keturunannya semasa jatuh benih ketika si ibu dan bapa melakukan persetubuhan.


Walaupun mereka telah membaca doa seperti yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w, namun oleh kerana Jin tersebut telah sedia ada dalam diri orang tersebut melalui saka baka dan keturunan tadi, maka Jin atau saka baka tadi tidak mudah meninggalkan mereka, melainkan saka-baka atau Jin tersebut telah di buang dari keluarga tersebut. Maka hasil dari situ lah terdapat ramai dari kalangan orang Melayu yang mendapat anak yang cacat luar biasa, gila dan sebagainya.

ii. Gila Mereyam

Gila mereyam sering berlaku ke atas perempuan-perempuan yang baru lepas bersalin. Orang sering mengaitkan gila mereyam disebabkan oleh batu meriyam yang tidak masuk kembali pada tempat asalnya. Mengikut Sinseh Cina batu meriyam itu di kenali sebagai Black Stone atau batu Hitam yang menurut mereka , apabila batu itu naik ke kepala akan menyebabkan seseorang perempuan menjadi gila. Gila yang disebabkan oleh batu meriyam ini paling ringan ialah perempuan berkenaan akan suka berbedak atau bersolek, walaupun baru melahirkan anak dan berkelakuan luar biasa. Antara yang paling teruk ialah mereka sanggup memukul orang atau lari dari rumah dan berkeliaran di atas jalan-jalan raya atau merayau-rayau di merata tempat. ( Gila ini biasanya tiada kaitan dengan Jin )

iii. Gila Isim

Gila Isim adalah disebabkan orang tersebut beramal dengan ayat-ayat yang di terima tanpa melalui guru. Punca gila ini adalah panas yang disebabkan oleh khadam penjaga ayat tersebut daripada gulungan Jin yang menggangunya. Gila jenis ini sering berlaku kepada mereka yang menuntut sesuatu ilmu atau beramal dengan sesuatu ilmu tanpa salasilah yang sahih, iaitu tanpa melalui guru yang muktabar sehingga kepada Rasulullah s.a.w.

iv. Gila Kena Rasuk / Gila akibat Sihir.

Kedua-dua jenis gila di atas adalah disebabkan Jin samada Jin yang di suruh oleh tuannya atau Jin yang tidak bertuan. Kadang-kadang mereka yang terkena jenis ini agak aggresif dan suka memukul orang jika di ganggu atau cuba di ubati.

7 comments

  1. Unknown // March 27, 2015 at 1:02 PM  

    Assalamualaikum...ingin hamba bertanya kepada tuan hamba...jika sesuatu khadam itu tidak meletakkan apa2 syarat tetapi nama panggilan baginya adalah panglima hitam...dimanakah tergolongnya makhluk ciptaan Allah ini??...di dalam khadam asal atau pun khadam bersyarat...bantulah hamba wahai tuan hamba yang memiliki ilmu yang tidak hamba miliki...jasa baik tuan hamba amatlah hamba hargai

  2. Unknown // January 22, 2016 at 7:11 PM  

    Saya pernah merawat pesakit ada saka dan jin pendamping mengaku Panglima Hitam. Apa pun kita dilarang mengambil pendamping walau pun jin itu mengaku islam. Saya seorang perawat islam. Jika perlu khidmat saya boleh watsapp 0123779564

    Ariffin

  3. NurMuhammad // February 3, 2016 at 1:16 PM  

    Bagi saya, selagi tidak bertentangan dengan syarak, selagi tau hukum baik buruk, tiada masalah. Kerana tiada pengharaman bersahabat dengan jin. Yang dijadikan haramnya itu adalah kelakuan manusia itu sendiri seperti memuja jin, memberi jamu kepada jin, mantera memuja jin dsbnya. Jin itu sama seperti manusia. Allah berfirman, "Tidak Aku menciptakan jin dan manusia, hanya untuk beribadah kepadaKu".

    Sebab pengharaman: kelakuan MANUSIA itu sendiri.

    Jin oun makhluk juga, punya hak seperti manusia. Dan juga akan dihisab semasa di akhirat kelak.

  4. NurMuhammad // February 3, 2016 at 1:16 PM  

    Bagi saya, selagi tidak bertentangan dengan syarak, selagi tau hukum baik buruk, tiada masalah. Kerana tiada pengharaman bersahabat dengan jin. Yang dijadikan haramnya itu adalah kelakuan manusia itu sendiri seperti memuja jin, memberi jamu kepada jin, mantera memuja jin dsbnya. Jin itu sama seperti manusia. Allah berfirman, "Tidak Aku menciptakan jin dan manusia, hanya untuk beribadah kepadaKu".

    Sebab pengharaman: kelakuan MANUSIA itu sendiri.

    Jin oun makhluk juga, punya hak seperti manusia. Dan juga akan dihisab semasa di akhirat kelak.

  5. Unknown // May 18, 2017 at 4:52 PM  

    Salam,sy nk bertanya
    Adakah cara bomoh berubat dgn mengorbankan seekor kambing utk tujuan pelepas saka brtentangan dgn syarak?

  6. Unknown // May 18, 2017 at 4:52 PM  

    Salam,sy nk bertanya
    Adakah cara bomoh berubat dgn mengorbankan seekor kambing utk tujuan pelepas saka brtentangan dgn syarak?

  7. Hanev // August 25, 2018 at 6:55 AM  

    Bismillah. Assalamualaikum wbt. Sy berminat utk mengetahui lanjut ttg no. 1 iaitu khadam asal. Semua pencerahan di atas tidak termasuk utk khadam asal. Mohon pencerahan dr tuan mengenai khadam asal ini. Terima kasih. Assalamualaikum.

Post a Comment